Sunday, January 15, 2012

Iqra': Smart Heart

Assalammualaikum.

Di dalam tubuh ini terdapat segumpal daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh tubuh. Apabila ia rosak, rosaklah jua tubuh. Ketahuilah daging itu adalah hati.
-Nabi ALLAH, Muhammad bin Abdullah-

Kita benar-benar yakin yang hati adalah pusat segala aktiviti harian kita. Hati yang mengendalikan segala tingkah-laku otak. Otak bekerja mengirimkan mesej tetapi dalam hatilah mesej itu diolah.

Ketika hati insan jernih, hati itu mampu menterjemah mesej dengan jelas, terang-benderang dan positif. Namun apabila hati gelap-gelita, proses terjemahan menjadi keruh, emosional dan merosakkan. Tidak hairanlah orang yang hatinya kotor akan menghidap pelbagai penyakit hati, tindak-tanduknya cenderung meresahkan orang bahkan membahayakan dirinya sendiri.

Maka satu-satunya usaha meningkatkan kualiti hidup, fikiran dan emosi manusia, perlu bermula daripada hati. Usaha mengekalkan hati yang bersih dan membersihkan hati yang kotor. Melalui hati yang suci ini, lahir insane baru yang cerdas fikirannya, baik prasangkanya dan positif pula perbuatannya.
-Smart Heart by Rusdin S.Rauf (Edisi Bahasa Melayu, PTS Millenia)-



Ini adalah serba sedikit synopsis buku yang sedang saya baca. Buku ini mengisahkan bagaimana kita manusia boleh melembutkan hati yang selama ini keras, kotor dan sakit dengan menggunakan teknik Multiple Intelligence atau Kecerdasan Pelbagai.

Jujur saya katakan, pertama kali saya membaca synopsis buku ini hati saya terus tertarik. Tertarik dengan cara pendekatan yang digunakan iaitu Teori Kecerdasan Pelbagai. Selalu saya membaca dan berfikir teori ini hanya digunakan sebagai salah satu kaedah pedagogi untuk mengajar di kelas. Ternyata saya silap, teori ini juga boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Dan yang lebih mengasyikkan ialah teori yang dipelopori oleh Howard Garner dapat mengarahkan hati kepada ALLAH, untuk mengenal dan mendekati-NYA.

Masya-ALLAH, segala puji hanya bagi ALLAH yang mengilhamkan penulis buku ini mengaplikasikan teori tersebut kearah yang lebih spiritual bukan hanya di dalam kelas/bilik darjah sahaja.

Hati yang lembut akan menzahirkan tingkah-laku yang sopan, baik dan manis. Penulis buku ini mengatakan bahawa:

" Kedudukan manusia di hadapan ALLAH bergantung pada kedudukan hatinya. Manusia dapat meraih kedudukan yang tinggi di sisi ALLAH sehingga melebihi malaikat, bersandarkan kepada keimanan dan ketakwaannya. Ketakwaan dan keimanan tidak akan diperolehi sekiranya orang itu tidak melembut, melunak dan membersihkan hatinya. "

Selalu orang berkata,

"Bukan aku tidak mahu berubah, tapi hidayah ALLAH belum lagi datang"

Sesungguhnya itu salah, dalam mencari ALLAH usaha itu penting. Sebagaimana kata seorang Wali ALLAH, Syeikh Abdul Qadir Jilani 

"Anyone who seek ALLAH will surely find HIM"

Maka, jangan ditunggu hidayah tersebut tetapi carilah ia. Carilah hidayah itu dengan melembutkan hati dengan menimba ilmu. Ya ilmu!! Ilmu sangat penting untuk kelembutan hati. Semakin banyak kita menimba ilmu semakin kita merasa rendah diri dan tunduk dengan kekuasaan ALLAH. Dengan ilmu akan terbuka minda dan hati kita untuk berfikir betapa besarnya ALLAH dan betapa kerdilnya kita yang hina ini. Carilah bukan tunggulah Hidayah ALLAH. Buatlah kewajipan yang disyariatkan oleh ALLAH walaupun pada permulaannya terasa susah. Tetapi lama-kelamaan, ia akan menjadi rutin kita dan apabila ditinggalkan akan merasa janggal pada diri. Sepertimana pepatah English;

"Fake it until you made it"

Insya-ALLAH pada entri yang seterusnya saya akan berkongsi kisah-kisah dan teori-teori yang menarik daripada buku ini untuk kita, hamba/insan/manusia ini berfikir secara mendalam  tentang kebesaran ALLAH untuk mendapatkan hati yang lembut agar sentiasa dekat dengan ALLAH. 

Monday, January 9, 2012

Tuhan Aku Rindu Dia

Dia yang tidak pernah ku temui
tiba-tiba menyentuh sanubari ku yang paling dalam
saat aku terkenang akan Dia
air mataku jatuh bercucuran

oh hatiku sepi tiba-tiba
terasa ingin berjumpa
terasa ingin bertemu
terasa ingin bersua

Tuhan temukan hambamu
dengan Dia yang ku rindui
walau sedetik
walau sekejap
walau seketika
walau di dalam mimpi

namun aku sedar
itu tidak bisa

maka Tuhan
beri aku cahaya 
agar dapat ku terangi jalan-jalan yang suram
beri aku kekuatan
agar dapat ku melangkah gagah ketika kaki ku goyah
beri aku harap
agar dapat bersinar harapan yang layu

Dia yang menyayangiku terdahulu
Dia yang mengasihiku terdahulu
Dia yang merinduiku terdahulu
Dia yang mencintaiku terdahulu

Ingin ku bersamanya disana
Ingin ku tatapnya disana
Ingin ku temunya disana

Satu ingin ku ucapkan padanya
aku rindu padanya
aku cinta padanya
aku sayang padanya
aku kasih padanya 

semata-mata kerana ALLAH
walau kita tidak pernah bersua

perjuangan mu
tanda kasih mu pada ku
kesakitan mu
tanda cinta mu pada ku
kesengsaraan mu
tanda sayang mu pada ku

aku sayang
aku rindu
aku kasih
aku cinta 
pada mu Ya Rasul Allah Muhammad bin Abdullah 
walau kau yang ku kenal
hanya pada nama dan perjuangan mu


Nur Zulieqha Mad Amin
Keningau, Sabah
(29.10.11- 12.12 am)