Wednesday, January 4, 2012

Tika dan Saat Ini


Allah, dekat hati saya pada-Mu agar saya tenang menantikan hadirnya hari bertemu-MU

Kala hati terasa kosong, apakah yang kita lakukan? Adakah hanya termenung panjang atau sekadar berkeluh-kesah dan bergundah gulana. Ini yang saya rasakah sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Terasa kosong dan sepi juga sunyi. Hobi membaca novel dan blog cerpen semakin hambar dari diri.

Ketika itu hati tertanya-tanya,
          “ Aku hidup ini hanya sekadar ini sajakah?”
          “ Aku hidup hanya untuk semata-mata hidup dan tiba waktu akan matikah?”

Pertanyaan-pertanyaan itu berlanjutan menghantui diri saya beberapa bulan. Sehinga tiba musim peperiksaan, saya mengalami depression yang agak teruk kerana membaca sebuah novel. Sangat terkesan dihati saya walaupun novel itu hanyalah satu novel biasa yang mempunyai mesej cinta, cinta dan cinta tetapi impaknya hingga beberapa minggu.

Beberapa hari murung dan sedih tanpa sebab. Beberapa hari asyik terkenang sesuatu yang jauh. Air mata menitis tiba-tiba. Hati saya tertanya-tanya mengapa hati terlalu hiba dan sedih. Serasa saya, saya tidak gagal dalam peperiksaan atau percintaan (kerana dua-dua belum berlaku lagi). Mengapakah? Saya dapat jawapannya daripada satu artikel yang menyatakan hati wanita sangat senang menangis, hiba dan sedih tanpa perlu ada alasan kerana syaitan senantiasa mengganggu. Syaitankah yang sedang mengganggu hati saya?

          “Astagfirullah al-azim, Astagfirullah al-azim. Lindungi saya ALLAH lindungi saya ALLAH.” Kata saya sesudah habis artikel itu dibaca.
Fenomena hujan air mata makin menjadi-jadi apabila saya membaca tentang diri Kekasih ALLAH iaitu Rasullullah, Muhammad bin Abdullah. Tidak tahu mengapa, lelaki mulia ini amat terkesan sangat dihati saya kala itu. Kisah-kisahnya terasa amat dekat dihati dan rindu kepadanya bercambah dan bertunas. Sehingga saya berdoa sesudah solat,

          “ Allah saya rindu Rasulullah dan saya rasa saya sangat sayang kepadanya. Adakah saya punya peluang untuk bertemu dengannya? Beri peluang pada saya untuk bertemu dengan dirinya Ya ALLAH ” Dan air mata saya mengalir setiap kali membaca kisah-kisahnya.

Tapi adakah saya punya peluang itu? Teringat saya pada sabda Rasulullah:
"Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita ."

Diriwayatkan oleh al-Bukhari.

Rasulullah sendiri yang menyampaikan wanita yang paling banyak menghuni di neraka. Adakah saya salah seorang daripada wanita-wanita tersebut?.

Hati mula resah dan gelisah. Ketakutan terasa apabila amal yang dilakukan tidak seberapa. Yang wajib tidak sempurna yang sunat tidak terlaksana. Ketaqwaan dan keimanan dalam hati hampir zero. Walaupun tidak melakukan dosa-dosa besar tetapi hati ini tidak memegang Islam sebagai Addin secara total. Lantas layakkah saya ini hanya anak gadis biasa 22 tahun bertemu dengan Kekasih ALLAH di syurga. Adakah layak saya untuk mencium harumnya kasturi syurga yang disebut-sebut?

Air mata saya tumpah lagi kali ini mengenangkan dosa-dosa dan amal yang sedikit. Saya amat sedih dan kesian pada diri sendiri. Terasa tidak terdaya untuk mengharungi hari-hari saya. Terasa dunia ini akan tamat pada bila-bila masa sahaja. Terasa apa yang saya hari-hari yang saya lalui sangat hambar dan kerinduan pada Muhammad bin Abdullah semakin menekan dalam dada saya.

          “Allah, Allah, Allah saya sedang sedih tolong saya. Tolong saya.” Luah saya sebelum tidur.

          “Allah saya sangat kecewa sekarang dengan diri saya sendiri, tolong saya ALLAH. Saya takut. Saya mahu jumpa Rasullulah, ketemukan saya dengannya.” Rintih saya lagi sebelum terlelap.

Saya terus lalui hari-hari sebelum peperiksaan dengan perasaan hiba. Pada zohor itu, saya menggapai al-quran yang sangat lama ditinggalkan. Ayat pertama dibaca merangkak-rangkak. Lidah saya kaku dan air mata sekali lagi menitis perlahan-lahan.

          “Kesiannya diri saya ini baca al-quran punya tersekat-sekat. Bagaimana untuk ke syurga jika al-quran tidak dapat dibaca dengan lancar. ALLAH tolong saya. Saya ingin ke syurgamu.”

Tuhan bantu saya untuk capai keikhlasan dalam ibadah saya kepada-MU. Bantu saya tenang hadapi musibah yang telah Engkau turunkan sebagai tarbiyah diri saya. Bantu saya agar terus yakin bahawa saya tidak punya apa-apa di dunia ini kerana apaya yang saya punyai adalah milik-MU Ya Rabbi. Bantu saya untuk terus dan mampu untuk beristiqomah dalam perjalanan yang panjang ini sebelum sampai ajal yang pasti akan datang. Bantu saya ke syurga-MU tuhan. Hanya Engkau tempat saya berpaut. Amin.

No comments: