Saturday, January 7, 2012

Cukup Cintakah Kita?

Assalammualaikum..

Pagi ini semasa saya sibuk melihat status-status rakan-rakan FB di home, saya terjumpa satu status yang saya kira sangat menyentuh hati saya sebagai seorang muslim. Ia ditulis oleh seorang novelis lelaki muda yang tidak dinafikan sungguh berbakat. Dapat menghasilkan 3 buah manuskrip dalam masa setahun. Masya-ALLAH. Semoga ALLAH membantu beliau berdakwah melalui novel-novel yang beliau karang.

Di wall beliau:

Mencintai Allah ialah sebuah tanggungjawab yang terindah. Kerana, cintakan Allah ialah gerbang penyatu langit dan bumi. Cintakan Allah juga ialah kunci dunia dan selepasnya. Cintakan Allah juga ialah nyawa ketaatan.

Kerana itu ada ulama pernah berkata; "Wahai Allah, sungguh aku cinta pada-Mu, walau aku bermaksiat kepada-MU."

Jangan putus cinta dengan Allah. Kerana cinta-Nya pada kita umpama tali yang takkan putus. Hanyasanya kita yang bertindak melampau- memutusnya dengan runcing kedurjanaan.

Selepas membaca status beliau, saya terfikir sendiri. Cukup cintakah saya pada ALLAH? Cukup cintakah saya pada ALLAH lebih dari saya cintai keluarga saya, rakan saya, guru saya dan novel-novel saya? bungkam seketika dengan persoalan itu.

Apakah itu cinta? Apakah yang dimaksudkan dengan cinta? Saya tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan cinta yang sebenarnya cinta. Tapi menurut satu laman web PakarCinta.com;

“Cinta membawa suatu perasaan yang mendalam terhadap si dia dan kalau boleh mahu hidup semati bersama dengannya.

Berat sungguh pengertian cinta itu. Berat sungguh perasaan cinta itu sehinggakan kita harus mengorbankan diri sendiri untuk orang yang kita cintai. Cinta, mencintai dan dicintai adalah satu tanggungjawab yang maha berat yang hanya mereka yang kuat dari segi JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelektual dan Sosial) sahaja yang mampu untuk memikul tanggungjawab cinta, mencintai dan dicintai.

Mengapa? Kerana ada waktu-waktu cinta diuji dengan halangan kekuatan JERIS ini sangat-sangat diperlukan untuk mengelakkan cinta itu menjadi racun yang boleh membunuh. Dalam pada masa akhir zaman ini tiada sudah cinta yang benar-benar suci selain cintanya hamba pada ALLAH. Cinta antara manusia seringkali di temani oleh syaitan yang senantiasa mahu melihat manusia musuh-memusuhi dan benci-membenci.

Tetapi jika segala halangan dan ujian itu dapat dilalui dengan tenang dan matang maka degan izin ALLAH cinta itu akan berkembang dan mekar lebih dari sebelum itu. Tetapi ingatlah tiada cinta yang lebih agung dari cinta pada ALLAH. Cinta ALLAH membawa ke SYURGA. Cinta manusia jika salah pembawakan, jika salah pentafsiran akan membawa musibah.

Bercintalah dengan berpada-pada. Agar jika cinta itu hilang kita masih punya cinta untuk diri kita.

Bercintalah dengan berstrategi. Agar jika cinta itu hancur kita sudah punya rancangan untuk bangkit.

Bercintalah dengan berhati-hati. Agar jika cinta itu kecundang sakit tidaklah seperit mana.

Bercintalah kerana dan semata-mata ALLAH kerana cinta ini akan mendapat Redha, Rahman dan Rahim dari ALLAH.

Cintailah dulu ALLAH sebelum mencintai dunia dan isinya agar nanti jika dunia dan isinya mengecewakan, kita tidak terduduk kerana hanya CINTA pada ALLAH sahaja yang kekal di dunia ini.

Maka cukup cintakah saya pada ALLAH?

“Ya ALLAH kami letakkan cinta yang ada dalam hati ini untuk MU Ya ALLAH agar apapun yang terjadi, kami tidak akan kecewa dan sedih kerana kami tahu hanya cinta pada MU yang kekal dan abadi. Cinta-cinta lain akan mati dan layu apabila sampai masanya. Lindungilah kami dari cinta yang melalaikan kami dari mengingatiMu, lindungilah kami dari cinta yang mengasyikkan dan memabukkan hingga lupa kami pada tanggungjawab padaMu dan lindungilah kami dari cinta yang dusta yang boleh membutakan mata dan mengeraskan hati.Tetapkan hati kami untuk tetap mencintai-MU Ya ALLAH sebelum kami mencintai makhluk Mu agar cinta kami pada makhluk tidak melebihi cinta pada Mu ALLAH”

carilah kasih-sayang dan cinta dari ALLAH agar perjalanan hidup ini tidak terasa berat pabila ujian datang, tidak terasa sedih pabila kecewa dan tidak terasa kosong pabila ditinggalkan. 

Sungguh saya ingin hidup dengan CINTA, SAYANG dan RINDU hanya untuk ALLAH. Bantu saya Ya ALLAH. Sesungguhnya Kau tidak pernah menghampakan hambaMU. Amin.

No comments: